22 May
CONTOH KARANGAN PENUH

Peranan Ibu Bapa dalam Memastikan Keselamatan Anak-anak Terjamin

Oleh: Nur Imani Binti Omar


          Saban hari kita telah digemparkan dengan tajuk berita di media massa yang melaporkan kes-kes penculikan yang semakin berleluasa. Mengikut kajian oleh pihak berkuasa, secara purata, sebanyak 4.2 kes kanak-kanak hilang telah dilaporkan dalam sehari di negara Malaysia. Kita juga berasa amat sedih dan pilu apabila kanak-kanak yang hilang itu ditemui mati dibunuh selepas dirogol. Yang terbaru seorang kanak-kanak perempuan telah diculik dan dibunuh dengan kejam oleh seorang lelaki. Kita harus berasa begitu marah kerana ada seorang insan yang meragut nyawa anak-anak kecil ini dengan cara paling kejam dan tidak bertamadun. Di manakah nilai murni masyarakat madani negara ini? Hakikatnya, ibu bapa tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja dan harus memainkan peranan untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka terjamin daripada apa-apa kejadian jenayah yang tidak diingini berlaku.

          Pada pandangan saya, usaha yang paling dominan untuk menangani masalah ini daripada terus berlaku ialah ibu bapa memberikan didikan tentang keselamatan diri kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana pengetahuan tentang sesuatu bahaya amat penting untk menghalang perkara negatif itu berlaku tanpa ada langkah pencegahannya. Sementara itu, orang yang tidak dikenali akan mengambil kesempatan dengan menghulurkan gula-gula untuk menarik perhatian kanak-kanak supaya mengikutnya. Dengan itu, ibu bapa yang bertanggungjawab haruslah menasihati anak-anak untuk menjerit dan berkata "tidak" ataupun "jangan ganggu saya,". Seterusnya, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak untuk tidak mengambil apa-apa daripada orang yang tidak dikenali. Tindakan ini akan menyebabkan anak-anak akan bersikap lebih berwaspada dan berhati-hati apabila berjumpa dengan orang yang tidak dikenali. Didikan tentang keselamatan diri haruslah diberikan sejak kecil lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tegasnya, saya melihat bahawa ilmu keselamatan diri sangat signifikan untuk mencegah jenayah penculikan ini daripada senang berlaku.

          Dalam perspektif yang lain pula, saya beranggapan bahawa ibu bapa mestilah memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh dalam soal penjagaan anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa zaman moden ini hanya mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak-anak mereka. Oleh yang demikian, ibu bapa wajar membesarkan anak-anak dengan baik. Selain itu, tugas lain yang penting juga ialah ibu bapa mestilah memberikan keperluan hidup yang mencukupi dan tempat tinggal yang selesa. Sebagai kesannya, anak-anak akan sentiasa berada dalam kawalan orang dewasa kerana kelengkapan yang disediakan ini mampu mengelakkan anak-anak terpedaya.Seterusnya, anak-anak juga tidak mudah tertipu oleh orang lain. Hal ini disebabkan anak-anak akan lebih sayang terhadap keluarganya. Sikap sudah terhantuk, baru tengadah yang merugikan diri sendiri dapat dielakkan. Hakikatnya, curahan kasih sayang daripada ibu bapa akan menjamin anak-anak menjaga keselamatan diri daripada ancaman pihak yang tidak dikenali.

          Saya juga berpendirian bahawa usaha yang seterusnya yang perlu dilaksanakan ialah ibu bapa perlu tahu lokasi anak mereka berada pada setiap masa. Hal ini kerana  anak-anak masih tidak tahu akan bahaya yang mendatang kepada mereka. Selain itu, ibu bapa sebenarnya merupakan tempat perlindungan untul ahli-ahlinya berlindung daripada sebarang bahaya. Dengan demikian, ibu bapa wajarlah mendidik anak-anak tentang cara-cara untul bertindak balas kepada sebarang situasi berbahaya. Ibu bapa hendaklah juga sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan terbaik untuk anak-anak mereka. Sekiranya langkah ini diambil dengan begitu baik maka anak-anak akan berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali. Tambahan pula, anak-anak juga akan bersikap was-was terhadap orang yang tidak dikenali pada setiap masa. Sikap sediakan payung sebelum hujan haruslah diterapkan dalam diri ibu bapa untuk mengelakkan anak-anak terdedah pada bahaya penjenayah. Tugasnya, sikap keprihatinan ibu bapa sepanjang masa akan menjamin keselamatan anak-anak.

          Usaha yang terakhir yang cukup penting untuk dilakukan ialah ibu bapa hendaklah memastikan anak mereka tidak berseorangan pada sesuatu masa. Hal ini disebabkan orang yang tidak dikenali suka menghampiri kanak-kanak yang berseorangan. Sementara itu, penjenayah akan mengambil apa-apa kesempatan untuk melakukan jenayah, khususnya kepada kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa. Dengan itu, ibu bapa mestilah sentiasa memastikan bahawa anak mereka tidak lari daripada pehatian mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyuruh anak-anak mereka memakai pakaian bewarna cerah ketika keluar membeli-belah supaya senang dikenali. Tindakan yang proaktif ini akan membolehkan keselamatan anak-anak akan lebih terjamin sekiranya mereka terus didampingi teman atau sekumpulan rakan-rakan. Benarlah kata pepatah Melayu, iaitu malang tidak berbau . Hal ini juga turut dikatakan oleh ALbert Einstein, "sungguh sedikit mereka yang melihat dengan mata mereka sendiri dan merasakan dengan hati mereka sendiri dalam soal keselamatan diri." Jelaslah bahawa ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak kecil mereka.

          Walhasil, sudah terang lagi bersuluh bahawa keselamatan kanak-kanak merupakan tanggungjawab setiap ibu bapa yang perlu dilaksanakan tanpa sebarang kompromi. Dalam erti kata yang lain, ibu bapa berperanan penting untuk memastikan anak-anak hidup bahagia, selamat dan terjamin keselamatannya. Ibu bapa juga hendaklah bekerjasama dan mengamalkan sikap susah sama dipikul, ringan sama dijinjing bagi mewujudkan institusi kekeluargaan yang selamat. Hakikatnya, anak-anak ialah harapan negara yang paling berharga pada masa depan bak kata mutiara kata pemuda tiang agama, pemudi tiang negara dalam menuju negara maju menjelang 2020.


Sumber: Penulisan Bahasa Melayu SPM 

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING